RAI ANAK YATIM

DYT_3089

NIKMAT IFTAR DI PUSAT KONVENSYEN SHAH ALAM RAI ANAK YATIM BERBUKA PUASA

SHAH ALAM, JUN 2015 – Sempena Ramadan pada tahun ini, SACC yang kian sinonim dengan amalan kemasyarakatan selepas bantuan mangsa banjir pada awal tahun 2015 meneruskan bakti melalui satu lagi program CSR (Tanggungjawab Sosial Kemasyarakatan) pada hari ini. Kelompok yang diraikan dalam Dewan Utama SACC ini ialah kumpulan anak-anak yatim dari Teratak Nur Barakah dari Seksyen 24, Shah Alam dan Rumah Amal Anak Yatim (PKAYDEM) dari Banting.

“Sudah menjadi kelaziman dan satu tradisi kepada kami untuk mencurah bakti semula kepada masyarakat”, kata Puan Shuhainie Shamsudin, Ketua Pegawai Eksekutif SACC ketika ditemui di majlis sederhana tetapi penuh meriah itu. Tambah beliau lagi, kedatangan Ramadan pada tahun ini melalui detik yang agak pilu berikutan peristiwa gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada awal bulan ini. “Kami turut bersimpati kepada keluarga mangsa dan berharap mereka akan tabah menghadapi dugaan ini,” Kata Shuhainie lagi.

Turut hadir di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim ini ialah wakil dari Hidayah Centre Foundation (HCF) iaitu Tuan Haji Nicholas Sylverster yang sempat berkongsi pengalaman beliau setelah bergelar Muslim. Menariknya dalam setiap majlis Bufet Ramadan yang dianjurkan setiap tahun oleh SACC ini ialah konsep “Berbuka Sambil Beramal” yang diselitkan. Jika pada tahun lalu SACC telah membantu PERTIS (Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia) mengumpul dana untuk mencetak lebih banyak Al-Quran Braille, tahun ini SACC memutuskan untuk menghulurkan bantuan kepada gologngan Muallaf pula. Kehadiran wakil HCF ternyata memberi impak yang tersendiri apabila Puan Shuhainie mengumumkan yang badan NGO ini adalah penerima Dana Bantuan Muallaf yang diwujudkan ini.

Mekanisma Dana Bantuan Muallaf ini pula dilihat sebagai satu cara mudah bagi masyarakat menghulurkan derma. Bagi setiap baucar Bufet Ramadan Nikmat Iftar yang dijual pada harga RM88.00 nett bagi dewasa dan RM44.00 nett bagi kanak-kanak, RM1.00 akan disalurkan ke Dana ini.

Bercakap kepada wakil media, Tuan Haji Nicholas Sylverster berkata beliau amat berterima kasih kepada seluruh warga kerja SACC kerana sudi membantu NGO berkenaan. “Kami memang mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk menyampaikan maklumat tentang HCF dan objektif utama badan ini ditubuhkan.” Katanya. Beliau yang juga seorang Muallaf berkata antara perkara asas yang perlu ditangani oleh golongan saudara baru ini adalah daripada segi kewangan dan bantuan begini dianggap satu sokongan moral daripada masyarakat yang prihatin.

Bufet Ramadan Nikmat Iftar dengan tema “Citarasa Selera Nusantara” di SACC ini telah dibuka kepada umum sejak 19 Jun 2015 lalu menyajikan lebih daripada 120 hidangan yang hanya boleh ditemui di rantau ini. Ia akan berlangsung sehingga 14 Julai 2015. Orang ramai yang bercadang untuk berbuka puasa di Dewan Utama SACC ini dinasihatkan supaya menghubungi talian 03-5511 8858 atau 03-55118813 untuk membuat tempahan awal. Daripada pemerhatian yang dibuat, terdapat ramai pelanggan yang kehampaan setelah dewan SACC menerima tempahan penuh pada hari tersebut.



Comments are closed.